Monday, March 2, 2009

PETISYEN MEMBANTAH PPSMI




To: Kementerian Pelajaran Malaysia

PETISYEN MEMBANTAH PPSMI Petisyen kepada Kementerian Pelajaran Malaysia.


PPSMI : Kembalikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.


Kami warga Malaysia, yang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, amat bimbang terhadap penghakisan kepada peranan Bahasa Melayu, terutama sebagai bahasa imu dan pendidikan, yang terus berlaku di Malaysia.


Pada tahun 2003 lalu, kerajaan pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad telah memutuskan untuk meminda dasar pendidikan negara dengan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik di seluruh Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan. Situasi ini sebenarnya menyebabkan kedudukan bahasa melayu semakin tergugat dan meniti saat-saat untuk lenyap dari tanah air kita sendiri.


Menurut Dasar Pendidikan Kebangsaan 1996, kedaulatan bahasa melayu harus dipertahankan sebagai bahasa teras dalam sistem pendidikan negara. Dasar tersebut dengan jelas menyatakan bahawa “dasar yang dinyatakan di atas akan dilaksanakan melalui suatu sistem pendidikan kebangsaan yang memperuntukkan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama”. Hakikatnya, jika dasar Pendidikan Kebangsaan ini tidak dipelihara, ia akan membebankan guru dan pelajar luar bandar untuk menggunakpakai Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik.


Dalam pada itu, pelaksanaan dasar Pengajaran Sains dan Matemaik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang dilihat tergesa-gesa ini amat bertentangan dengan peruntukan undang-undang. Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menjamin kedudukan Bahasa Kebangsaan atau bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara. Sementara itu, Seksyen 2 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) telah memberi definisi jelas kepada maksud sekolah kebangsaan dan sekolah menengah kebangsaan. Menurut Seksyen 2, Sekolah Kebangsaan ditafsirkan sebagai sekolah Rendah kerajaan atau sekolah rendah bantuan kerajaan— (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.


Manakala, Sekolah Menengah Kebangsaan pula ditakrifkan sebagai sekolah menengah kerajaan atau sekolah menengah bantuan kerajaan - (b) yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar utama.


Seksyen 17(1) Akta Pendidikan juga menyatakan “Bahasa kebangsaan hendaklah menjadi bahasa pengantar utama di semua institusi pendidikan dalam Sistem Pendidikan Kebangsaan kecuali sekolah jenis kebangsaan yang ditubuhkan di bawah seksyen 28 atau mana-mana institusi pendidikan lain yang dikecualikan oleh Menteri daripada subseksyen ini”


Adalah amat mengecewakan apabila pemimpin melayu kini sudah tidak memiliki sensitiviti untuk mempertahankan nasib bahasa kebangsaan dan dalam masa yang sama tidak menghormati peruntukan undang-undang tertinggi negara yang menjamin kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah. Dasar yang menjamin kedudukan bahasa Melayu yang diwariskan oleh pemimpin terdahulu juga sudah dianggap tidak relevan dan tidak dinali sebaik-baiknya.


Untuk memastikan agar kedudukan bahasa Melayu terjamin dalam negara ini dan tidak terus digugat, malah diangkat dan dimartabatkan, kami menyeru agar Kerajaan Malaysia :


• Mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam mata pelajaran sains dan matematik di semua sekolah rendah kebangsaan dan menengah.

• Memelihara bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan perpaduan kaum.

• Menghormati dan menguatkuasakan sepenuhnya segala peruntukan undang-undang yang ada yang menjamin kedudukan bahasa kebangsaan.

• Mengekalkan dasar-dasar negara yang menjamin kedaulatan bahasa melayu yang diwarisi oleh generasi pemimpin terdahulu.


Kami, dengan ikhlas dan tegas, dan penuh rasa tanggungjawab percaya bahawa kemajuan negara akan tetap tecapai walaupun kita mengekalkan bahasa, budaya dan jatidiri kita yang tulin. Perlu disedari bahawa bahasa merupakan jiwa dan cerminan kepada bangsa dan jika tidak dipertahankan akan hilanglah jatidiri bangsa kita sebagai Melayu dan Islam.


Muhamad Faisal Abdul Aziz

Pengerusi,

Gerakan Anti PPSMI (GAP)


Alamat Perhubungan : Sekretariat PKPIM Pusat,

Kompleks Anjung Rahmat, Batu 6, Jalan Gombak, 53100 Kuala Lumpur.


Tel : 03-61879520 Faks : 03-61842570


Email : spp@pkpim.net spp_pkpim@yahoo.com

Apa pendapat kalian berhubung isu ini? Ada cadangan-cadangan bernas utk penambahbaikan? Jom fikir2kan.. =)


Allahu'alam

~ imalia ~


1 comments:

MetaL MilitiA said...

Entah. macam tak setuju je. jika dilihat dari sejarah, kegemilangan bangsa2 terdahulu pn adalah melalui pembelajaran bahasa bangsa2 yg agung.

contohny, tamadun islam mencedok ilmu dari yunani dan parsi. maka pd zaman itu ramai org belajar bahasa yunani dan parsi utk mendalami ilmu2 mereka sebelum dikembangkan dalam bahasa sendiri.

ketika zaman kebangkitan barat dan eropah, ramai dari kalangan mereka belajar bahasa arab dgn niat untuk mencedok ilmu dari mereka.

dan, ketamadunan jepun yang begitu mengagungkan bangsa dan bahasa mereka, yang merupakan bangsa yang paling jumud ketika dahulu, berjaya menjadi bangsa termoden di zaman ini adalah melalui pencedokan ilmu dari barat. dan bangsa mereka juga belajar bahasa barat utk mencapai matlamat ini. beribu2 pelajar di hantar belajar luar negara, dan beribu2 lagi disuruh untuk mendalami bahasa inggeris.

apabila semua ini telah dicapai, semua ilmu berjaya dicedok, semua ilmu berjaya diterjemah, barulah mereka mengagungkan kembali bahasa mereka. mereka sudah berjaya mencipta teknologi2 baru hasil dari ilmu yang mereka cedok dahulu. dan jika peringkat penciptaan teknologi sudah dicapai, maka boleh la teknologi itu diperkenalkan dalam bahasa mereka sendiri. tiada pun berlaku hakisan bahasa ibunda mereka.

dalam kes malaysia, kita begitu mengagungkan bahasa sendiri. namun, kita perlu bertanya pada diri kita sendiri, adakah kita sudah mampu mencipta teknologi kita sendiri? adakah kita mampu menghasilkan ilmu-ilmu tertentu secara sendiri?

Saya yakin jawapannya adalah tidak. kenapa?

kerana kita masih belum mempunyai asas ilmu yang kukuh yang boleh memangkinkan kita ke arah penghasilan teknologi baru.

jadi bagaimanakah kita mahu bergerak ke arah itu?

sudah tentu kita perlu belajar ilmu2 asas yang sudah dikembangkan dahulu oleh bangsa2 lain terutama barat. dan hampir pasti majoriti ilmu tersebut dalam bahasa inggeris.

jika anak2 bangsa kita tak dilatih untuk memahirkan bahasa ilmu iaitu bahasa inggeris, adakah kita mampu melahirkan generasi yang dapat menguasai ilmu2 tertentu yg kebanyakannya dalam bahasa inggeris?

jika anak bangsa kita diajar untuk belajar sains dalam bahasa melayu, adakah kita mampu melahirkan generasi yang berfikiran kritis dan kritikal yang dpt menterjemahkn ilmu barat dalam bahasa kita sendiri? bagaimana mungkin kita mahu menterjemah bahasa asing jika kita tak mempelajarinya!

dan, cuba anda bayangkan jika kita dilatih untuk belajar bahasa sains dalam bahasa melayu, dan kemudian kita masuk ke universiti yang sudah pastinya majoriti ilmunya dalam bahasa inggeris, tidakkah ini akn menyebabkan berlakunya kejutan budaya, dan tidak mustahil akn berlaku keciciran pelajar dalam bidang2 ilmu yang sudah menjadi teramat kompleks.

tambahan pula, kita hanya belajar bahasa inggeris dalam subjek sains, dan bahasa melayu masih digunakan dalam pertuturan harian dan subjek bahasa melayu. dan saya tidak nampak ini akan mengurangkan kefasihan kita dalam bahasa melayu.

mungkin benar sistem bahasa inggeris ini akan menyebabkan keciciran pelajar dalam subjek kritikal iaitu sains, tapi jgn lah hanya kerana nyamuk seekor, kelambu dibakar.

takkan lah kita ingin menggadaikan nasib bangsa kita (atau lebih sesuai sbg umat islam kerana majoriti melayu adalah islam) di masa hadapan hanya kerana beberapa peratus pelajar keciciran.

tidakkah kita perasan yang menjadi masalah keciciran adalah disebabkan sistem pelaksanaan yang kucar kacir. bukan sistem yang bermasalah. mungkin kita boleh mulakan dari darjah satu (mereka masih belum ada pendedahan awalan, dan otak mereka masih segar untuk menerima ilmu baru), dan generasi pelapis inilah yang akan merasai kesannya di masa depan. jika dilaksanakan pada tahun 6 atau tingkatan 1, dan 4, ianya mungkin bermasalah kerana mereka sudah dididik bahasa melayu.

dan guru2 juga boleh dilatih dengan intensif untuk memahirkan diri dalam bahasa inggeris. itu semua tidak mustahil. hanya memerlukan komitmen.

untuk mencapai kejayaan, kita perlu berkorban. dan itulah pengorbanan yang kita perlu lakukan. kerana melentur buluh lebih mudah dari rebungnya.

dan saya kesal dengan sikap sesetengah pejuang bahasa yang berfikiran dangkal dan hanya mahu menyalak semata2 ingin menunjuk jaguh, tapi tidak sedar yang dirinya hanyalah kutu2 yang menghisap darah2 makhluk lain.